Sejarah Awal Penubuhan myPPP

1953

MyPPP (dahulu dikenali sebagai PPP) ditubuhkan pada 10hb. April 1953 di negeri Perak sebagai parti politik dengan nama Perak Progressive Party oleh adik-beradik Seenivasagam dan telah menjadi salah satu parti pembangkang utama kepada Parti Perikatan pada ketika itu.

Darma Raja Seenivasagam yang lebih dikenali sebagai D.R. Seenivasagam yang berasal dari Ipoh, Perak merupakan Presiden PPP pertama dan merupakan seorang Peguam berbangsa India.

1954

PPP telah menyertai Parti Perikatan pada tahun 1954 semasa Pilihanraya Majlis Tempatan 1954, D.R. Senivasagam telah dipilih sebagai Ahli Bandaraya Ipoh dan Menglembu di bawah tiket Perikatan.

1955

PPP menarik diri dari Perikatan pada tahun 1955 sebelum Pilihan Raya 1955 kerana tidak diperuntukkan kerusi untuk bertanding.

1956

PPP ingin menonjolkan diri sebagai parti politik kebangsaan dari Perak Progressive Party kepada People's Progressive Party agar dilihat identitinya sebagai sebuah parti politik Kebangsaan.

1957

Presiden Parti, D.R. Seenivasagam telah bertanding dan menangi Kerusi Parlimen Ipoh semasa Pilihanraya Kecil yang dikosongkan oleh Tun Leong Yew Koh yang telah dilantik menjadi Gabenor Melaka yang pertama.

1959

PPP telah memenangi 4 Kerusi Parlimen dan 8 Kerusi Dewan Undangan Negeri semasa Pilihanraya Umum ke-2 yang diadakan pada 19hb. Ogos 1957.

1960

PPP telah memenangi satu lagi kerusi Parlimen semasa Pilihanraya Kecil dan telah menang majoriti dalam Pilihanraya majlis tempatan untuk Majlis Perbandaran Ipoh dan berjaya mentadbir Majlis Perbandaran Ipoh dengan sempurna dan baik.

1964

PPP telah memenangi 2 kerusi parlimen dan 6 kerusi DUN semasa Pilihanraya Umum ke-3 yang diadakan pada 25hb. April 1964.

1969

Presiden D.R. Senivasagam telah meninggal dunia pada 15hb. Mac 1969 dan pucuk pimpinan diambil alih oleh adiknya S.R. Senivasagam. Tahun 1969 merupakan zaman kegemilangan PPP kerana berjaya meraih sokongan masyarakat majmuk di Perak terutamanya masyarakat Cina dan India disebabkan populariti adik-beradik Seenivasagam yang sentiasa menyuarakan tentang keadilan dan memperjuangkan isu rakyat dan akar-umbi.

Semasa PRU yang ketiga yang diadakan pada tahun 1969, PPP telah berjaya memenangi 4 Kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak dan hanya kekurangan 2 kerusi DUN untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak.

1973

PPP menjadi salah satu parti pengasas Barisan Nasional dan telah menyertai Barisan Nasional atas jemputan YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketika itu. Keputusan untuk menyertai Barisan Nasional ini dibuat berdasarkan kepercayaan bahawa untuk negara mencapai kestabilan politik, sosial dan ekonomi. Pemikiran politik sempit perlu dikikis demi sebuah negara yang berbilang kaum.

Namun penyertaan PPP dalam Barisan Nasional tidak diterima baik oleh penyokongnya dan sokongan terhadap PPP mula merosot terutamanya masyarakat Cina yang bersikap anti-establishment ketika itu dan mula beralih untuk menyokong parti DAP.

1974

PPP yang bertanding atas tiket Barisan Nasional hanya memenangi 1 kerusi Parlimen dan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri semasa Pilihanraya keempat yang diadakan pada 24hb. Ogos 1974.

1975

Presiden, S.P. Senivasagam meninggal dunia dan Khong Kok Yet menerajui sebagai Presiden Parti yang ketiga dan PPP mula dibelenggu oleh masalah pucuk kepimpinan yang mengakibatkan perubahan President yang saling bersilih ganti sehingga awal tahun 1990an.
1- Dato' Paramjit Singh
2- Dato' Mak Hon Kam
3- Dato' Paramjit Singh
4- S.I Rajah
5- PV Das
6-Tan Sri M. Kayveas

2000-2001

PPP mula mengukuhkan kedudukannya dalam politik negara pada awal 1990an dan telah berkembang dan mula mendapat perhatian dari Barisan Nasional, Presiden ketika itu, Tan Sri M Kayveas telah dilantik sebagai Senator pada 6hb. Disember 2000 dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 30hb. Januari 2001.

2015

Parti Progresif Penduduk (PPP) telah melakukan penjenamaan semula dengan nama baharunya myPPP pada Mesyuarat Agung Khas yang diadakan pada tahun 15hb. November 2015 dan digunakan sehingga kini.

2018

Kavyeas telah meletak semua jawatan dalam parti pada 23hb. April 2018 dan Lembaga Disiplin yang bersidang pada 24hb. April 2018 telah terima peletakan jawatan beliau dan turut memecat beliau sebagai ahli parti kerana melanggar Perlembagaan Parti serta kerana tindakan-tindakan unilateral yang dibuat olehnya sehingga myPPP kehilangan 1 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan semasa PRU ke-14, keputusan pemecatan Kayveas ini turut disahkan oleh Majlis Tertinggi yang bersidang pada 25hb. April 2018.

2019

Pendaftaran myPPP dibatalkan 14hb. Januari 2019 kerana kemelut kepimpinan yang berlaku apabila Kayveas bertindak menarik balik peletakan jawatannya dan pertikaian pemecatannya sebagai ahli parti. myPPP mendapat kelulusan bersyarat pada 7hb. Oktober 2019 untuk menyelesaikan isu kepimpinan dalam Parti namun Kayveas berdolak-dalik kerana tidak mendapat sokongan dari pimpinan sedia ada serta akar umbi Parti, Beliau juga telah mengheret Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ke mahkamah tetapi kalah semua kes yang dibawanya dan kemelut ini telah berlarutan sehingga tahun 2023.

2023

myPPP telah mengadakan Pemilihan Majlis Tertinggi semasa Perhimpunan Agung Tahunan yang berlangsung di WTC, Kuala Lumpur pada 19 Mac 2023 seperti mana diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesahkan keabsahan Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz sebagai Presiden Parti bersama Ahli Majlis Tertinggi myPPP yang telah dipilih semasa Perhimpunan Agung Tahunan 2023 dan JPPM telah meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran myPPP pada 11hb. April 2023.

Parti myPPP telah diuji sekali lagi dengan kematian Datuk Seri Maglin pada 17 November 2023 akibat serangan sakit jantung di Hospital Ampuan Rahimah Klang. Berdasarkan perlembagaan Parti, Naib Presiden Kanan, YBhg. Datuk Dr. Loga Bala Mohan, dilantik sebagai Pemangku Presiden sehingga Perhimpunan Agung Parti yang akan dilansungkan.

2024

Perhimpunan Agung Tahunan 2024 bakal diadakan pada 18hb. Ogos 2024 dan Datuk Loga Bala Mohan dijangka akan menerima sokongan penuh dari Perwakilan untuk disahkan sebagai Presiden Parti.

Berminat menjadi sebahagian dari kami?

Daftar sekarang. Jom jadi sebahagian dari kami

Borang Pendaftaran